Rabu, 22 Oktober 2008

Keju Sebagai Bahan Makanan

Terima kasih kepada ida sebagai pembaca setia blog saya ni. Ida minta saya menerangkan hasil keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengenai isu renin/renet.



Ikuti keputusan tersebut dibawah:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa : Kali ke-26

Tarikh: 7-8 Mac, 1990

1. Hujah/Ulasan

(a) Muzakarah mengambil maklum akan penjelasan yang telah disampaikan oleh Dr. Abu Bakar Hussain dari Bahagian Teknologi Makanan MARDI seperti berikut:

  • Keju merupakan makanan harian yang berkhasiat kerana ia mengandungi vitamin, protin, lemak, kalsium dan zat besi. Kebanyakan keju dihasilkan daripada susu lembu, tetapi oleh kerana susu ini cair maka untuk memendapkan pepejal yang ada dalam susu, ia mesti digunakan "enzime" dalam pembuatan keju yang dikenali sebagai "renet".
  • Enzime boleh diperolehi daripada tumbuhan atau pun kulat, tetapi enzime daripada anak lembu adalah yang paling baik untuk membuat keju. Selain enzime anak lembu, ia juga didapati daripada anak kambing, anak biri-biri dan anak babi. Enzime daripada anak lembu adalah yang paling praktikal kerana dagingya boleh dijual dengan harga yang mahal. Perut anak lembu itu dikeluarkan dan dikeringkan, untuk mendapat enzime yang dipanggil renet. Renet itu dimasukkan sedikit sahaja ke dalam susu untuk menjadikan keju.
  • Kebanyakan keju yang diimport oleh Malaysia adalah datangnya dari negara-negara bukan Islam. Timbul keraguan tentang keju yang diimport itu, sama anak binatang yang diambil renet itu daripada binatang yang halal atau tidak. Dan jikalau binatang halal adakah anak binatang itu disembelih secara islam.
  • Kebanyakan keju di pasaran hanya ditulis dengan perkataan renet sahaja tanpa ditulis punca asal renet itu diambil sama ada daripada binatang halal atau tidak.
(b) Muzakarah mengambil ingatan di atas pandangan-pandangan seperti berikut:

  • Renet atau "infah" yang dijadikan enzim untuk membuat keju itu diambil daripada anak binatang, sama ada ianya daripada binatang yang halal atau pun tidak.
  • Menurut pendapat Mazhab Syafie dalam kitab"  " Jilid 1 karangan Wahbah Zahili, bahawa dimaafkan daripada infah iaitu renet yang digunakan untuk membuat keju, juga seperti dimaafkan alkohol untuk membuat ubat dan bau-bauan. Dimaafkan juga seperti ulat yang mati di dalam buah, selama ulat itu tidak dibuang dan dimasukkan kembali ke dalam buah tersebut , dan selama mana ulat itu tidak merubah keadaan buah itu sama ada dari segi warna, rasa dan bau.
  • Menurut mazhab Abu Hanifah dalam Majmu' Fatawa Sheikh Al-Islami Ibnu Taimiyah Jilid 21, ada pendapat yang mengatakan keju adalah harus dimakan dan ada pula pendapat yang mengatakan keju tidak harus.  Pendapat yang mengatakan keju adalah harus, mereka berhujah bahawa pada zaman Sahabat, keju dimakan adalah yang diimport daripada orang-orang Majusi. Pada hal sembelihan orang-orang Majusi adalah tidak boleh dimakan.
  • Menurut satu pendapat daripada Imam Ramli, seorang ulama' Shafie, seperti yang dinaqalkan oleh Sheikh Zainal Abidin Ibnu Muhamad Al-Fathani di dalam kitab"  " Juzu' Pertama bahawa "jubnun atau keju itu halal dan boleh dimaafkan"
  • Ulama'-ulama' Islam juga berpendapat bahawa ukuran sesuatu bahan itu najis atau pun tidak adalah berdasarkan kepada sesuatu benda yang najis itu adakah boleh merubah sesuatu bahan makanan dari segi warna, rasa dan baunya. Selagi bahan makanan itu tidak berubah, maka ia boleh dimakan.

2) Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa keju sebagai bahan makanan adalah harus dengan syarat enzime yang digunakan sebagai bahan campuran dalam pembuatan keju itu diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan atau kulat dan sekiranya daripada binatang hendaklah binatang halal yang disembelih menurut secara islam.



Sumber : JAKIM

Jadi kesimpulanya keju adalah harus untuk dimakan dengan syarat jika renet diambil daripada binatang yang disembelih menurut secara islam. Wassalam...

Tiada ulasan: