Sabtu, 26 Januari 2013

Makanan Kucing Halal???????????

DALAM Islam halal bukan sekadar merujuk kepada makanan dan minuman, namun membabitkan konteks lebih luas ia merangkumi apa juga yang kita lakukan setiap hari termasuk yang membabitkan hobi.

Hobi memelihara kucing di kalangan orang Islam misalnya juga termaktub dalam hal-hal yang berkaitan dengan halal. Makanan yang diberikan kepada haiwan terbabit terutamanya tidak boleh sembarangan.

Memang bagi penggemar dan pencinta kucing, mereka inginkan produk berkualiti tinggi untuk haiwan kesayangan. Tetapi yang paling penting produk yang digunakan mesti bebas daripada unsur-unsur tidak halal kerana ini berkaitan dengan kehidupan seharian.


Menyedari makanan haiwan peliharaan terutama kucing di pasaran sekarang kurang menitikberatkan soal halal, maka sepasang suami isteri telah membuat kajian selama dua tahun hingga akhirnya berjaya menghasilkan produk tunggal berkonsepkan halal di negara ini. Ini sekali gus mengatasi kebimbangan orang Islam terhadap permasalahan tersebut.

Lebih penting, produk dibangunkan oleh Halim Baba, 46, dan isterinya, Sophia Ali, 44, yang dikenali sebagai Vita Cat itu bukan sahaja mewujudkan alternatif bagi pengguna Muslim, malahan berkhasiat.

Dalam menghasilkan produk berkenaan, Halim yang juga Pengerusi dan Pengasas Edaran Vita Cat Sdn. Bhd. (Vita Cat) berbalik kepada fitrah pemakanan kucing iaitu ikan dan beras atau nasi yang lazim diberikan kepada haiwan itu di kampung-kampung suatu ketika dahulu.

Sehubungan itu, katanya, produk makanan kucing yang dibangunkan menggunakan ramuan formula ekstrak ikan tuna yang diperkaya dengan Omega 3 dan 6, dan beras termasuk vitamin serta mineral.

“Pendekatan halal menjadi keutamaan produk makanan kucing keluaran kami khususnya dalam penggunaan bahan mentah. 

“Penggunaan pati ikan tuna yang semestinya halal merupakan penemuan kami paling berharga," katanya kepada Mega ketika ditemuia di premis perniagaanya di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Halim yang mempunyai latar belakang Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Shizouka, Jepun berkata, ramai penggemar kucing beranggapan semua makanan haiwan itu adalah sama.

Sedangkan katanya, kebanyakan produk makanan kucing yang diimport menggunakan minyak haiwan ternakan atau byproduct seperti perut ayam dan khinzir.

Katanya, produk berkenaan juga lazimnya menggunakan bahan sampingan dan perasa seperti garam yang banyak bagi tujuan pengawetan.

Jika pengguna tidak prihatin dengan pilihan mereka, ia mungkin membawa kesan tidak baik kepada kesihatan kucing.

“Dulu kita jarang mendengar kucing mengalami masalah seperti batu karang atau kencing berdarah sebab ia makan ikan dan nasi.
“Tetapi apabila ada pemakanan sekarang yang menggunakan garam dan perasa bagi proses pengawetan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

“Sebab itu banyak kucing sekarang mempunyai masalah buah pinggang. Sebagai peminat kucing, kita hendaklah sedar mengenainya," ujar bapa kepada empat anak berusia antara lapan hingga 21 tahun itu.

Beliau yang arif dalam bidang pemakanan kucing berkata, penggunaan makanan kucing terutama dari Eropah boleh menimbulkan masalah gatal dan keguguran bulu.

Ini kerana, katanya, makanan kucing dari negara berkenaan direka khas untuk haiwan tersebut yang hidup dalam negara cuaca sejuk dengan meletakkan kandungan protein tinggi bagi menggemukkan serta memanaskan badan kucing.
“Produk Vita Cat yang kami bangunkan ini menggunakan kandungan protein yang sesuai dengan cuaca di Malaysia untuk semua jenis baka kucing," katanya.

Penghasilan makanan kucing Vita Cat secara lebih semulajadi, formula yang mesra alam dan tanpa menggunakan ketulan daging, organ serta daging sampingan menjadikan produk berkenaan menawarkan pelbagai kelebihan.

Halim berkata, Vita Cat yang diformulakan untuk semua jenis baka kucing baik untuk kesihatan haiwan itu, pengawalan bulu gugur, najis kurang berbau dan menjadikannya semakin gebu serta cantik.

Katanya, produk Vita Cat disediakan dalam dua jenis perisa iaitu Tuna dan Ocean Fish dengan pek pembungkusan kapasiti 500 gram, 1.5 kilogram (kg) dan lapan kg.

Tambahnya, ia juga ditawarkan dalam bentuk makanan tin ikan kembung Vita Cat yang mengandungi ketulan ikan kembung segar dan pati minyak ikan kembung yang berkhasiat tanpa sebarang gelatin dan bahan awet.
“Kami turut memasarkan produk penjagaan kucing seperti syampu penjagaan bulu, ubat kutu, losyen telinga dan pasir kucing Vita Cat," ujar usahawan yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Produk Vita Cat kini boleh didapati di 325 lokasi cawangan pasar raya besar seperti Giant, Mydin, Carefour dan Tesco.

Khamis, 24 Januari 2013

McDonalds bayar komuniti Islam AS$700,000

DEABORN, Michigan - Rangkaian restoran makanan segera McDonalds dan seorang pemilik francaisnya bersetuju membayar AS$700,000 (RM2.1 juta) kepada komuniti Islam di sini, untuk menyelesaikan saman berhubung sebuah restoran itu menyiarkan iklan palsu bahawa makanan yang disediakan adalah halal.
McDonalds dan Syarikat Pengurusan Finley's bersetuju pada Jumaat untuk membayar wang itu yang akan dikongsi bersama penduduk di sini, Ahmed Ahmed, sebuah klinik setempat dan Muzium Kebangsaan Arab Amerika serta peguam mereka.
Dalam komennya kepada agensi berita The Associated Press (AP) semalam peguam Ahmed, Kassem Dakhlallah berkata, beliau gembira dengan persetujuan itu yang dijangka dimuktamadkan pada 1 Mac depan.
Pada September 2011, Ahmed mendakwa telah membeli sandwic ayam di restoran Mcdonald di sini dan mendapati hidangan tersebut tidak halal malah, penyediaannya tidak dibuat berdasarkan garis panduan Islam.
Menurut Dakhlallah, McDonald menyediakan dua premis restoran makanan halal di AS dengan kedua-duanya terletak di sini ekoran daerah ini mempunyai bilangan penduduk Arab dan Islam antara yang terbesar di Amerika Syarikat.
Tambah Dakhlallah, restoran tersebut sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan produk halal tetapi mereka menjual makanan tidak halal apabila kehabisan stok.
"Ahmed telah menjalankan siasatan di premis berkenaan dan dia mendapati restoran tersebut memang menjual makanan yang tidak halal dan ini bukanlah kali pertama perkara seperti ini terjadi.
"Satu surat telah dihantar kepada pihak pengurusan bagaimanapun tiada tindakan diambil oleh mereka," katanya.
Mereka kemudian memfailkan saman di mahkamah Daerah Wayne pada November 2011 untuk tindakan selanjutnya.
Ini merupakan tuntutan pertama yang diterima McDonald di AS berkaitan isu makanan halal. - AP

Sumber:  http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm