Masih terdapat segelintir masyarat umum membeli ubat-ubatan yang dijual dijalanan tanpa merasa ragu mengenai status keselamatan dan keberkesanan produk tersebut. Mungkin kerana harga produk ini murah dan mempunyai ilustrasi yang menarik. Kebanyakan produk ini berkaitan dengan peningkatan keupayaan seks dan tenaga. Niat untuk menjadi sihat awalnya mungkin menjadi sengsara kemudianya, kerana kebanyakan peroduk ini tidak mempunyai kelulusan daripada BPFK Kementerian Kesihatan Malaysia. Sampai bilakah pengguna akan terus ditipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab?
94 jenis ubat tiruan dirampas
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 Mei - Sebanyak 94 jenis ubat-ubatan tradisional tiruan dan tidak berdaftar bernilai RM100,000 dirampas dari enam buah kedai di sekitar Jalan Raja Bot di sini hari ini dipercayai dijalankan oleh peniaga warga Indonesia yang memiliki status penduduk tetap.
Walaupun pernah diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa kerana menjual ubat-ubatan tiruan, namun para peniaga itu tidak serik meneruskan aktiviti mereka.
Operasi yang dijalankan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan pada pukul 12 tengah hari itu mendapati, enam premis tersebut menjalankan penjualan ubat tiruan secara terbuka kepada orang awam.
Menurut Ketua Operasinya, Adnan Salimin, bagi mengaburi mata pelanggan, peniaga itu turut menggunakan pelekat hologram Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang palsu.
"Selain itu mereka sengaja tidak meletakkan alat pengimbas hologram (meditag) di kedai mereka untuk kegunaan pelanggan bagi menyemak ubat-ubatan yang hendak dibeli," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.
Adnan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan taktik tersebut digunakan untuk mengaut keuntungan lebih dengan menjual ubat tiruan pada harga sama seperti ubat tulen.
Katanya, alat pengimbas tersebut yang berharga RM200 seunit diberikan percuma oleh KKM kepada setiap premis perniagaan ubat-ubatan dan farmasi untuk digunakan pelanggan bagi menyemak status ubat yang hendak dibeli sama ada mendapat kelulusan daripada pihak kementerian.
Dalam pada itu, katanya, setiap ubat yang dilekat dengan pelekat hologram adalah disahkan oleh pihak KKM dari segi kandungan bahan yang digunakan serta lebih selamat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membeli ubat-ubatan tiruan yang mudah didapati di kedai-kedai tanpa membuat imbasan menggunakan pengimbas hologram terlebih dahulu kerana ia dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan.
Sumber:
http://www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan