Khamis, 19 Mei 2011

Kedai Dobi Halal?


Bila disebut perkataan halal, kita dapat membayangkan ianya berkaitan dengan makanan halal. Kita mungkin terlepas pandang bahawa halal bukan hanya kepada makanan malah lebih luas seperti makanan, pakaian,mencari harta dan lain-lain. Apa yang penulis nak kongsikan adalah kini ada kedai dobi yang menggunakan konsep halal dalam perniagaan mereka. Hebat! 

Keunikan Kedai Dobi e-Wash

Kedai Dobi e-Wash mula mendapat tempat daripada pelanggan bukan beragama Islam.


TELUK INTAN 9 Mei – Impiannya untuk membuka kedai dobi tidak pernah luntur meskipun mengetahui ramai telah tewas dan gagal meneruskan perjuangan dalam perniagaan mencabar itu.
Malah, ketika menceburi dunia perniagaan itu tiga tahun lalu, dia hampir menjadi sebahagian statistik usahawan bumiputera yang tersungkur kerana gagal mengharungi cabaran perniagaan sukar, tetapi mempunyai potensi besar berkembang dan menguntungkan.
Namun, kini Azhani Jalaluddin, 29, boleh menarik nafas lega kerana pengorbanan yang didasari usaha gigih dan doa membuahkan hasil apabila perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash sudah mendapat hati di kalangan masyarakat setempat.
Hasil promosi secara berterusan, perniagaan ibu kepada seorang anak itu mula meyakinkan syarikat-syarikat seperti katering, hotel dan restoran untuk mendapatkan perkhidmatan Kedai Dobi w-Wash yang beroperasi No 23, Lorong 1, Jalan Merbok, Taman Impiana di sini.
Pemegang diploma perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia perniagaan dobi ketika menceburi bidang tersebut tiga tahun lalu.
“Saya hanya mempunyai pengalaman bekerja di dua buah bank selama beberapa tahun sebelum berhenti kerja untuk memulakan perniagaan.
“Perkhidmatan dobi dipilih kerana minat dan yakin akan potensi bidang ini, selain ingin membuktikan keupayaan usahawan Melayu untuk berjaya dalam bidang yang masih kurang disertai orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang mendapat sokongan dan bantuan pengurusan perniagaan daripada suami, Mohammed Irfan, 35, menambah, cabaran awal yang dihadapi adalah untuk mengumpul modal RM200,000.
Katanya, usaha beliau mahu menceburi perniagaan itu hampir gagal di peringkat awal lagi apabila permohonan mendapatkan pinjaman daripada agensi kerajaan ditolak.
Tidak mahu mengalah dengan halangan itu, beliau mendapat idea daripada kenalan suami seorang pengurus bank yang menasihatkannya membuat pembiayaan semula kedai milik suami bagi mendapatkan wang untuk dijadikan modal perniagaan dobi.
Ditambah dengan wang simpanan, dia akhirnya berjaya membuka kedai dobi dengan menggunakan teknologi terkini syarikat elektronik Electrolux yang masih belum digunakan secara meluas di daerah ini dan sekitarnya.
“Cabaran awal adalah mencari pelanggan kerana kawasan premis perniagaan tidak terletak di jalan utama, sebaliknya jalan mati. Persaingan harga dengan kedai lain yang lebih dulu menceburi bidang ini menjadikan tugas menjadi lebih sukar.
“Kesukaran untuk mendapatkan pekerja yang berkualiti dan setia juga merupakan antara cabaran besar,” katanya.
Justeru bagi mengatasi masalah itu, tanpa mengira penat dan lelah apatah lagi rasa malu beliau melakukan semua kerja termasuk mencuci, mengering dan menggosok bagi memastikan perniagaannya terus beroperasi.
Beliau juga memperuntukkan masa setiap hari melakukan promosi dengan mengedar risalah, bertemu orang ramai dan kenalan bagi meyakinkan orang ramai tentang kebaikan dan keunikan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash.
“Walau sibuk sekali mana pun, saya tetap tidak akan mengabaikan tugas menjaga anak yang ketika itu berusia setahun. Suami hanya dapat membantu selepas dia selesai bekerja,” ujarnya lagi.
Azhani berkata, kelainan yang ditawarkan oleh kedai dobinya adalah teknologi terkini hasil inovatif Electrolux yang membolehkan pakaian bukan sahaja bersih tetapi selamat diguna dan tidak menjejaskan kualiti sedia ada.
Bagi membolehkan mengoperasikan teknologi tersebut, dia telah menyertai program Advance Lagoon selama empat hari anjuran Electrolux di Pattaya,Thailand yang turut disertai peserta dari Indonesia, Filipina dan Thailand.
Selain itu, katanya, Kedai Dobi e-Wash mengutamakan konsep Islam bagi memastikan semua pakaian dibasuh dan dibersihkan menepati hukum syarak.
“Ini merupakan salah satu faktor mengapa kita hanya mengambil pekerja Islam,” katanya sambil menambah konsep tersebut telah diterima oleh pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Sebab itu juga, pelanggan saya tidak rasa was-was menghantar telekung untuk dicuci di kedai ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, harga yang ditetapkan berbeza mengikut kaedah cucian.
“Jika mengggunakan Wet Clean harga ditetapkan berdasarkan bilangan setiap pakaian tetapi jika cucian biasa ditetapkan pada harga antara RM3 hingga RM5 sekilogram,” katanya.
Azhani berkata, sehingga kini Kedai Dobi e-Wash bukan sahaja mendapat perhatian daripada pelanggan beragama Islam tetapi sudah sebati dengan kaum lain termasuk India dan Cina.
Malah katanya, keunikan kaedah cucian serta konsep Islam yang diterapkan menyebabkan pelanggannya bukan sahaja datang dari daerah ini, sebaliknya menjangkau sehingga Sitiawan.
Bercerita mengenai perancangan masa depan, Azhani berkata, dia bercadang membuka cawangan baru sama ada di Ipoh atau Sitiawan.
“Selain itu saya berhasrat memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash,” katanya.

Tiada ulasan: