Sabtu, 28 Mei 2011

"Kerana Marahkan Nyamuk Sampai Kelambu Dibakar"

Itu boleh dikatakan dengan isu halal yang kini diperdebatkan oleh bukan hanya pengguna, persatuan pengguna,syarikat dan termasuk ahli politik. Penulis hairan takkan kerana bilangan kemalangan yang meningkat setiap tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tugas mereka perlu dibekukan ini tidak relevan atau lesen memandu akan dibekukan pengeluaranya. Penulis cadang dikeluarkan Pensijilan Haram untuk pemohon yang ingin mendapatkan sijil haram.




Beku Permohonan Sijil Halal - Khairy



Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN






PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa kerajaan membekukan permohonan sijil halal sehingga satu kajian terperinci mengenainya selesai dijalankan.


Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata satu proses pengauditan yang komprehensif perlu segera dijalankan oleh sebuah badan bebas terhadap proses kelulusan permohonan sijil halal oleh Jabatan Kebajikan Islam (Jakim), dan Majlis Agama Islam Negeri.


“Kita gusar, malah ia menimbulkan tanda tanya mengenai proses pengeluaran sijil halal serta pemantauan yang dilaksanakan.


“Ini termasuk, bagaimana syarikat-syarikat terbabit mendapat sijil halal dan kekerapan serta keberkesanan sistem pemantauan pihak berkuasa terhadap pemegang sijil halal,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Rabu.


Jelasnya, kerajaan perlu mengkaji dan memantau semua 52 badan pensijilan halal di luar negara yang tidak diiktiraf oleh Jakim dalam mengeluarkan sijil halal.


“Pemantauan kerap dan menyeluruh perlu dilaksanakan ke atas pemegang sijil bagi memastikan mereka mengikut garis panduan.


Khairy berkata, pihaknya berasa terkejut dengan pendedahan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal mengenai penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam bahan ramuan yang digunakan sebuah syarikat.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pemberian sijil halal penting kerana majoriti penduduk negara beragama Islam dan akan berasa tertipu jika produk makanan didapati mempunyai najis berat dan haram di sisi agama.


“Sikap sebilangan pengusaha makanan yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam mengecewakan.


“Terdapat lebih 2,000 hotel dan resort di seluruh negara, tetapi hanya 366 yang memiliki sijil halal yang diiktiraf,” katanya.


Baru-baru ini Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu DNA babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.


Lebih memeranjatkan, blog Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), http://persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com turut mendakwa bahawa bahan-bahan berkenaan kini dikatakan digunakan oleh rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.


Laman web www.halal.gov.my milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.


Jakim turut menyenaraikan bahan makanan itu digunakan rangkaian kedai kek berkenaan.


Sumber:http://mstar.com.my/

 


Tiada ulasan: