Rabu, 18 Mei 2011

JAKIM bekerjasama dengan negara luar tetapkan logo Halal

Sumber: Berita harian online


2011/05/17

YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa mewujudkan kesepakatan dengan negara luar dalam aspek kesahihan logo halal terhadap barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Beliau berkata, terdapat beberapa agensi Islam dari negara luar diberi kebenaran mengeluarkan logo halal terhadap barangan eksport mereka ke Malaysia dan JAKIM serta Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) sentiasa membuat pemantauan yang serius terhadap semua barangan yang diimport.


"Contohnya, isu kesahihan status halal terhadap susu sekolah, JAKIM tidak mengeluarkan logo halal tersebut tetapi dikeluarkan oleh Korea. Korea pula mempunyai amalan (kelulusan) Jabatan Agama Islam mereka yang bergerak (diiktiraf) di negara ini," katanya selepas merasmikan Surau Haji Yaacob di Kampung Batu 16, Padang Lumat, Guar Chempedak dekat sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas isu keraguan status halal susu sekolah 1Malaysia yang diagihkan secara percuma kepada murid sekolah rendah kerana tidak menggunakan logo halal yang dikeluarkan oleh pihak Jakim sekali gus diragui status siijil halalnya. 

Semalam, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang di Pendang, Shaharol Niza Omar, mempertikaikan logo halal yang terdapat pada produk susu sekolah yang didakwa dikeluarkan oleh sebuah syarikat dari Korea itu. 

Jamil Khir berkata, kerajaan sentiasa memantau barangan dari negara luar yang masuk ke Malaysia dan sebagai usaha pada masa depan, beliau akan mencadangkan supaya Akta Perihal Dagangan 1972 dibentangkan semula di Parlimen. 

"Isi kandungan akta berkenaan perlu dilihat kembali yamg mana menyentuh soal barangan luar negara agar kemasukan barangan itu perlu diteliti sebaik mungkin sebelum dilepaskan masuk ke Malaysia," katanya. 
Katanya, sesiapa yang meragui status halal barangan yang dibeli boleh melayari laman web www.halal.gov.my untuk memeriksa status halal barangan itu. 







Sementara itu, Jamil Khir mencadangkan supaya elaun untuk bilal surau dan masjid di seluruh negara dinilai kembali supaya bayaran yang dibayar setimpal dengan tugas mereka. 

"Nilai bayaran ditentukan sendiri oleh Majlis Agama Negeri-negeri," katanya. 

Pada majlis itu, Jamil Khir turut memberi sumbangan RM2,500 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Batu 16. 

Surau Haji Yaacob dibina dengan kos RM150,000 menerusi peruntukan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah dan nama Haji Yaacob diambil bersempena nama tuan tanah surau itu. - BERNAMA 


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ish3..badan islam mana pulak di korea yg diiktiraf jakim???

Tanpa Nama berkata...

maklumbalas politik tu..benang basah