Snek tanah liat panggang
JIKA tidak diberitahu terlebih dahulu, pasti ramai yang menyangka bahawa hidangan di dalam pinggan itu merupakan kepingan coklat gelap yang digulung.
Sebenarnya, makanan yang hanya popular di sebuah desa di Tuban, Jawa Timur, Indonesia itu diperbuat daripada tanah liat.
"Orang Tuban sahaja yang memakan tanah yang disebut ampo ini," kata seorang penjual ampo yang dikenali sebagai Rasima.
Jelas Rasima, ampo dipercayai mampu menghilangkan rasa sakit malah menjadi ubat untuk pelbagai jenis penyakit. Ia merupakan makanan turun-temurun warga kampung tersebut.
Cara membuat snek itu tidak terlalu sukar kerana tiada resipi khas mengenainya. Untuk membuatnya hanya memerlukan tanah liat yang diambil dari kawasan yang tidak tercemar.
"Cuma perlu cari tanah yang bersih yang tidak bercampur pasir. Kemudian ditumbuk dan dipadatkan sehingga membentuk seperti bongkah segi empat.
"Seterusnya kikis bongkah itu dan bentuk menjadi gulungan. Gulungan itu kemudian dibakar dan diasapkan selama sejam. Selepas itu ia sedia dimakan sebagai snek," kata Rasima.
Biasanya, Rasima menjual makanan tersebut di pasar sekitar rumahnya dan mampu memperoleh pendapatan sebanyak 20,000 rupiah (RM6.80) sehari, cukup untuk menyara keluarganya.
Biarpun tidak popular, ampo terus menjadi pilihan ramai penduduk kampung tersebut sebagai salah satu cara untuk menjaga kesihatan.
Seorang peminat makanan itu yang enggan dikenali menjelaskan, dia telah memakan tanah bakar tersebut sejak kecil lagi kerana ia memberi keselesaan kepada perut dan menguatkan sistem pencernaan.
"Saya memakan ampo dari dahulu lagi kerana ia boleh menyejukkan perut saya. Saya tidak pernah berdepan masalah sepanjang makan hidangan itu," katanya yang berusia 40-an.
Sumber: Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan