Khamis, 19 Julai 2012

Kemarau teruk di AS, harga makanan bakal melambung

WASHINGTON: Kemarau yang melanda kawasan pertanian di Amerika Syarikat ketika ini yang dianggap paling teruk sejak 25 tahun lalu bakal, menyebabkan harga bahan makanan melambung. 

Amaran itu dikeluarkan Setiausaha Pertanian AS, Tom Vilsack, hari ini apabila negara pengeluar terbesar jagung dan kacang soya itu semakin terjejas akibat dilanda musim kemarau. Beliau berkata, kebanyakan peladang kini memberi amaran mereka terpaksa menuai hasil pertanian berkenaan lebih awal dan menjualnya sebagai makanan untuk haiwan. 
“Saya sentiasa berdoa setiap hari. Kalaulah saya boleh melakukan sembahyang dan mendoakan hujan, saya akan terus lakukan," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat mengenai krisis kemarau kepada Presiden Barack Obama. 

Vilsack mendedahkan, ketika ini 78 peratus pengeluaran jagung dan 11 peratus pengeluaran kacang soya negara itu sudah terjejas akibat kemarau. 

Ia jauh lebih teruk daripada kadar pengeluaran ketika kemarau pada 1988 apabila ia hanya merosot 20 peratus saja dan kesannya AS kehilangan pendapatan mencecah lebih AS$10 bilion. 

“Ini memberi kesan nyata kepada peningkatan harga jagung. Kita lihat harganya sudah melambung kepada 38 peratus sejak 1 Jun manakala harga minyak mentah soya meningkat kepada 24 peratus," katanya. 
Vilsack berkata, kemarau ketika ini lebih teruk berbanding 1988 dengan 61 peratus negara itu sudah terjejas. - AFP 

Tiada ulasan: