Persetujuan untuk membenarkan logo halal keluaran Jakim bagi pasaran Indonesia diputuskan dalam mesyuarat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIM) pada Mei lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan MABIM itu akan melegakan pengusaha produk makanan halal Malaysia yang sebelum ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesulitan untuk memasarkan produk mereka ke Indonesia.
"Berita yang menggembirakan ini disahkan dalam mesyuarat MABIM pada Mei lalu. Kalau sebelum ini, pengusaha terpaksa melalui pelbagai proses yang rumit, kini semuanya sudah diselesaikan.
"Kita berterima kasih kepada pemerintah Indonesia yang membenarkan logo halal keluaran Jakim di negara mereka," kata Mustapa pada sidang akhbar selepas menghadiri sidang meja bulat perniagaan halal di sini hari ini.
Sidang meja bulat perniagaan halal tersebut diadakan kali pertama dengan disertai oleh 30 pengusaha produk makanan halal Malaysia dan 60 dari Indonesia.
Ia dianjurkan secara kerjasama oleh Halal Development Industry Corporation (HDC) dengan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Kamar Dagang Industri Indonesia (KADIN).
Jumlah dagangan produk halal keluaran Malaysia yang berjaya menembusi pasaran seluruh dunia pada tahun lalu mencatat angka RM1.8 bilion.
Berikutan kebenaran penggunaan logo halal keluaran Jakim di Indonesia, Mustapa yakin, prospek produk-produk keluaran Malaysia di negara jiran terdekat itu akan meningkat pada masa depan.
"Bagaimanapun, berita ini masih baru dan tidak semua pengusaha yang menyedarinya. Justeru, kementerian akan menggerakkan pelbagai program untuk meluaskan lagi hebahan berita ini bagi mendorong pengusaha-pengusaha Malaysia mengeksport produk mereka ke Indonesia," kata beliau.
Sementara itu, Mustapa turut mempelawa pengusaha-pengusaha Indonesia supaya mengambil kesempatan untuk mendirikan kilang-kilang mereka di hab halal di Malaysia.
"Kita mahu syarikat-syarikat Indonesia supaya berkunjung ke Malaysia dan mendirikan kilang di hab halal yang sudah kita sediakan bagi membolehkan produk mereka bukan saja dijual ke negara-negara ASEAN bahkan juga di seluruh dunia," katanya.
Mustapha memberitahu, hab halal yang ditempatkan di Melaka, Johor dan Kelantan bersedia menawarkan peluang kepada pengusaha-pengusaha Indonesia yang berminat. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan