Tarikan negara bukan Islam
|
Peningkatan ketara pelancong Muslim terutamanya dari Asia Barat dengan kuasa beli yang tinggi membuatkan banyak negara tidak mahu ketinggalan menarik kedatangan mereka.
DARIPADA pusat rawatan spa halal hingga bilik sembahyang di terminal lapangan terbang, industri pelancongan Islamik global semakin meningkat dan dijangka terus rancak dalam dekad akan datang.
Menurut pakar, bilangan golongan kaya beragama Islam terutamanya di Asia Barat meningkat dengan ketara dan mereka pula gemar melancong ke luar negara.
Bukan itu sahaja, jumlah perbelanjaan golongan tersebut ketika melancong juga menunjukkan peningkatan ketara dan dijangka mencecah AS$192 bilion (RM584 bilion) pada tahun 2020. Pada tahun 2011, perbelanjaan mereka kira-kira RM383 bilion.
Statistik tersebut didedahkan kepada AFP oleh syarikat pelancongan halal yang beribu pejabat di Singapura iaitu Crescentrating dan agensi penyelidikan pasaran Muslim global, DinarStandard.
Agensi di Amerika Syarikat itu membuat kajian pasaran berkaitan gaya hidup Muslim di 47 buah negara di seluruh dunia.
Kedua-dua syarikat tersebut pakar dalam kajian berhubungan industri pelancongan dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Crescentrating, Fazal Bahardeen berkata, negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam seperti Mesir, Malaysia dan Indonesia telah lama menjadi pasaran kegemaran pelancong Muslim, namun kini negara bukan Islam semakin digemari.
Berdasarkan kajian itu, Malaysia berada di tempat pertama destinasi tumpuan pelancong Muslim, malah sepanjang Ramadan pelancong turut berkunjung ke negara berkenaan.
|
Bulan madu
Mohammed Ali Alali, 23, pelajar kejuruteraan petroleum dari Dammam, Arab Saudi melancong dan berbulan madu di Malaysia bersama pasangannya, pelajar perubatan berusia 20 tahun.
"Negara ini tidak begitu jauh dari Arab Saudi dan kos perbelanjaan lebih murah berbanding melancong ke Eropah. Malaysia juga negara Islam dan ia banyak memudahkan kami dalam pelbagai perkara seperti lokasi masjid dan makanan Arab," katanya selepas berbuka puasa di sebuah restoran Arab di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berdasarkan kajian itu, mudah mendapat masakan halal merupakan keperluan utama para pelancong berkenaan.
Fazal berkata, destinasi pelancongan seperti Thailand dan Australia terutamanya Gold Coast, kini turut mengambil pendekatan serupa iaitu menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kepada para pelancong Muslim.
Antaranya, termasuk menyediakan surau di terminal lapangan terbang dan hotel-hotel, restoran dan spa halal yang memenuhi tuntutan agama Islam.
'Mengapa tidak mencuba Gold Coast untuk Ramadan tahun ini?' Slogan ajakan tersebut dipetik daripada sebuah laman web pelancongan di Queensland, Australia.
Banyak pakar ekonomi global mendedahkan, usaha memenuhi keperluan dan kehendak kira-kira 1.8 bilion orang Islam di seluruh dunia merupakan satu peluang perniagaan yang menguntungkan.
"Daripada makanan dan perbankan Islamik, industri tersebut terus mengembangkan sayap dalam bidang farmaseutikal, fesyen, pelancongan dan pelbagai sektor lain," kata pakar tersebut.
Separuh daripada populasi masyarakat Islam dunia merupakan golongan berusia 24 tahun ke bawah dan kebanyakannya berpendidikan tinggi.
|
Spa halal
Thailand juga giat menjalankan usaha bagi tujuan menarik kedatangan pelancong Islam ke Negara Gajah Putih itu.
Pihak berkuasa pelancongan negara berkenaan yang mempunyai pejabat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah mempromosikan spa halal untuk pelancong Islam dengan menitikberatkan privasi para pelanggan lelaki dan wanita.
Selain itu, mereka turut mengadakan festival makanan Thai di Dubai yang berlangsung dalam tempoh panjang iaitu dari 8 Jun hingga 7 Julai.
Menurut kajian Crescentrating, Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok dipilih paling baik dari segi lapangan terbang mesra pelanggan Islam di negara bukan Islam.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa pelancong dari Negara-Negara Teluk seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE merupakan golongan yang paling banyak berbelanja.
Negara-Negara Teluk mewakili 37 peratus daripada perbelanjaan pelancong Islam pada tahun 2011 di Thailand meskipun bilangan mereka cuma tiga peratus daripada populasi Islam global. - AFP
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan