Ahad, 7 April 2013

IKEA hentikan jualan lasagne moose kerana ada daging babi

IKEA hentikan jualan lasagne moose kerana ada daging babi


SELEPAS masalah bebola daging yang dicemari daging kuda, IKEA kini terpaksa menghentikan jualan lasagne moose kerana didakwa mengandungi daging babi.


STOCKHOLM - Pengeluar perabot terbesar dunia, IKEA semalam menyatakan, pihaknya telah menghentikan jualan lasagne moose selepas mendapati produk itu mengandungi daging babi.
Lasagne moose sebanyak 10,000 tan itu dihasilkan oleh pembekal IKEA. Jualannya dihentikan di semua cawangan IKEA di 18 buah negara Eropah selepas ujian yang dilakukan oleh pihak berkuasa Belgium pada bulan lalu mendapati ada unsur daging babi di dalamnya.
"Kami menerima pengesahan pada Jumaat bahawa satu siri produksi makanan itu dicemari hirisan kecil daging babi. Kuantitinya sangat kecil, kira-kira satu peratus," kata jurucakap IKEA, Tina Kardum.
Lasagne yang tercemar itu dikatakan berjumlah 17,000 pek.
Pada Februari, IKEA menghentikan jualan bebola daging kerana mendapati sebahagiannya mengandungi daging kuda. - Reuters

Ahad, 24 Februari 2013

Kopi halau makhluk halus


SHAMSURI memperkenalkan kaedah baharu dalam melawan masalah gangguan makhluk halus menerusi minuman.


PERCAYA atau tidak, amalan sihir masih lagi menjadi ancaman sebahagian daripada masyarakat Melayu moden pada hari ini. Sihir mempunyai pelbagai matlamat adalah untuk menundukkan musuh dengan cara mudah.
Maka tidak hairanlah pusat perubatan berasaskan Islam semakin banyak ditubuhkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang terkena sihir.
Sebagai usaha inovatif mengekang gangguan makhluk halus malah pengasas Pusat Perubatan Islam At-Tobibi, Shamsuri Shafei memperkenalkan kaedah merawat gangguan tersebut menerusi kaedah pemakanan moden.
"Oleh kerana meminum kopi menjadi sebahagian daripada rutin kita, saya memperkenalkan kaedah mudah kepada mereka yang menderita akibat gangguan makhluk halus menerusi kopi penawar ruqyah.
"Sebenarnya kopi itu sesuai untuk sesiapa sahaja kerana syaitan dan jin yang berdampingan dengan manusia bukan sahaja hadir kerana 'dihantar' tetapi ada yang berdampingan secara semula jadi terutamanya mereka yang jauh kepada Allah," kata Shamsuri.
Kopi pracampur itu turut mengandungi campuran pemakanan sunah seperti habatussauda, buah zaitun, kismis dan koma-koma yang dibacakan dengan ayat-ayat ruqyah oleh Shamsuri sendiri. Ayat tersebut merupakan bacaan yang dipercayai berperanan dalam menghalau makhluk halus.
"Seperti yang kita sedia maklum makanan sunah merupakan antara makanan yang mudah dihadam dan baik untuk kesihatan. Justeru kopi ini mengandungi nilai-nilai mengikut cara Islam," katanya yang turut memperkenalkan kopi delima ruqyah yang mengandungi bahan ekstrak kurma, madu, delima dan buah tin.
Maklumat lanjut mengenai kopi tersebut hubungi 013-960 9268 atau 019-460 1205.

Kopi termahal di dunia


MUSANG luwak yang menghasilkan kopi paling mahal di dunia menerusi proses pencernaan selepas ceri kopi dimakannya.


KOPI luwak yang hanya boleh didapati di Indonesia dianggap sebagai kopi paling pelik di dunia. Ia hanya boleh dihasilkan menerusi najis sejenis musang yang dikenali sebagai luwak oleh masyarakat tempatan. Secara semula jadi, musang tersebut akan terlebih dulu memakan biji kopi pada waktu malam sebelum penduduk kampung mengutip najis haiwan itu untuk diproses menjadi serbuk kopi.
Antara lokasi hangat penghasilan kopi yang mempunyai nilai komersial AS$700 (RM2,170) sekilogram itu ialah di sekitar Bali, Sumatera, Jawa dan Sulawesi.
Kopi itu pernah mencetuskan kontroversi apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa ia haram dimakan oleh orang Islam kerana dihasilkan menerusi proses pencernaan haiwan.

MONYET Formosan Rock akan meluah kembali biji kopi yang dimakan sebelum diproses menjadi minuman.


Namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 yang bersidang selama tiga hari mulai 13 Februari 2012 lalu memutuskan bahawa kopi tersebut harus dimakan.
Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), biji kopi luwak adalah bersifat najis.
“Ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam.
“Biji kopi tersebut juga hendaklah disucikan terlebih dulu daripada najis,” demikian kenyataan fatwa itu.
Muzakarah juga memutuskan bahawa kopi luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.
Bagaimanapun musang bukanlah satu-satunya haiwan yang boleh menghasilkan kopi bermutu tinggi.
Di Thailand, masyarakat setempat menggunakan gajah bagi mempercepatkan penghasilan biji kopi berbanding musang yang hanya mampu memakan buah kopi dalam kuantiti terhad.

GAJAH akan diberi makan kira-kira 33kg buah kopi bagi menghasilkan sekilogram biji kopi.


Menurut mereka yang pernah menghirup kopi itu, rasa kopi gajah jauh lebih enak berbanding kopi robusta atau arabika yang bermutu tinggi.
Tetapi untuk merasa kopi itu tidaklah begitu mudah kerana ia hanya boleh didapat di tempat tertentu sahaja iaitu di beberapa hotel mewah di Thailand, Maldives dan Abu Dhabi. Harganya pula mencecah sehingga AS$68 (RM211) secawan.
Harga bagi setiap kilogram biji kopi yang siap diproses didagangkan sebanyak AS$1,100 (RM3,409).
“Apabila gajah memakan biji kopi itu, asid perutnya akan memecahkan protein yang terkandung di dalam biji kopi. Sebab itulah rasanya begitu sedap. Kopi itu juga lebih lembut berbanding kopi biasa,” kata pengasas kopi yang terhasil daripada gajah yang merupakan warga Kanada, Blake Dinkin, 43.
Perut gajah yang besar menjadi bonus dalam menghasilkan kopi yang berkualiti apabila ia mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 jam untuk memproses biji kopi bersama-sama dengan pisang, tebu dan makanan lain. Justeru rasa kopi itu turut ditambah dengan aroma buah-buahan.
Antara lokasi penghasilan kopi tersebut di Thailand termasuklah di kawasan Segitiga Emas Anantar dan Phrao iaitu di utara Thailand.
Jumlah yang dihasilkannya juga terhad apabila hanya 20 ekor gajah yang diberi makan biji kopi untuk memprosesnya. Daripada jumlah 10,000 biji kopi, ia hanya mampu menghasilkan satu kilogram kopi.

DANKIN menunjukkan kopi yang dihasilkan oleh gajah siap dibersihkan sebelum dibakar.


“Daripada 33 kilogram (kg) kopi yang diberi makan kepada gajah, hanya sekilogram kopi Black Ivory yang dihasilkan. Ini adalah kerana sebahagian daripada kopi telah musnah kerana dikunyah. Hanya biji kopi yang tidak pecah sahaja yang akan diproses,” kata Dinkin.
Di Taiwan, monyet Formosan Rock turut memainkan peranannya dalam menghasilkan kopi termahal. Ia berbeza berbanding kopi luwak dan kopi gajah kerana biji kopi akan diludah oleh monyet selepas dimamah.
“Monyet itu selalunya memilih biji kopi yang nampak ranum dan berwarna merah menyala untuk di makan. Tetapi ia akan meludahnya kembali kerana tidak boleh dicerna,” kata seorang pengusaha kopi di Taiwan, Lio Ching Tung.
Jelas Ching Tung yang berpengalaman selama 30 tahun dalam perusahaan itu, kopi muntah monyet itu mempunyai rasa manis dan sedikit rasa vanila.
Kopi yang mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan iaitu dengan melalui proses pengeringan di bawah matahari dan dibakar itu dijual pada harga AS$60 (RM186) bagi setiap setengah kilogram.