DEABORN, Michigan - Rangkaian restoran makanan segera McDonalds dan seorang pemilik francaisnya bersetuju membayar AS$700,000 (RM2.1 juta) kepada komuniti Islam di sini, untuk menyelesaikan saman berhubung sebuah restoran itu menyiarkan iklan palsu bahawa makanan yang disediakan adalah halal.
McDonalds dan Syarikat Pengurusan Finley's bersetuju pada Jumaat untuk membayar wang itu yang akan dikongsi bersama penduduk di sini, Ahmed Ahmed, sebuah klinik setempat dan Muzium Kebangsaan Arab Amerika serta peguam mereka.
Dalam komennya kepada agensi berita The Associated Press (AP) semalam peguam Ahmed, Kassem Dakhlallah berkata, beliau gembira dengan persetujuan itu yang dijangka dimuktamadkan pada 1 Mac depan.
Pada September 2011, Ahmed mendakwa telah membeli sandwic ayam di restoran Mcdonald di sini dan mendapati hidangan tersebut tidak halal malah, penyediaannya tidak dibuat berdasarkan garis panduan Islam.
Menurut Dakhlallah, McDonald menyediakan dua premis restoran makanan halal di AS dengan kedua-duanya terletak di sini ekoran daerah ini mempunyai bilangan penduduk Arab dan Islam antara yang terbesar di Amerika Syarikat.
Tambah Dakhlallah, restoran tersebut sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan produk halal tetapi mereka menjual makanan tidak halal apabila kehabisan stok.
"Ahmed telah menjalankan siasatan di premis berkenaan dan dia mendapati restoran tersebut memang menjual makanan yang tidak halal dan ini bukanlah kali pertama perkara seperti ini terjadi.
"Satu surat telah dihantar kepada pihak pengurusan bagaimanapun tiada tindakan diambil oleh mereka," katanya.
Mereka kemudian memfailkan saman di mahkamah Daerah Wayne pada November 2011 untuk tindakan selanjutnya.
Ini merupakan tuntutan pertama yang diterima McDonald di AS berkaitan isu makanan halal. - AP
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan