Rabu, 19 Disember 2012

Gelatin Dari Ubi????????

Semua tahu bahawa jika kita mengatakan mengenai Gelatin pasti ia daripada sumber haiwan terutamanya dari sumber Khinzir. Tapi kini banyak pihak telah membuat kajian bagi untuk mencari altenatif yang bersumberkan tumbuhan. Ikutilah info ini...........


Gelatin ubi Jepun


SELEPAS memasuki fasa matang, daun pokok ubi konnyaku akan ditumbuhi biji-biji halus yang akan menjadi benih apabila ia diterbangkan angin dan jatuh ke tanah.


PENGGUNAAN ramuan gelatin yang diragui status halalnya baik dalam industri makanan, farmaseutikal mahupun kosmetik menjadikan pengguna di negara ini lebih berhati-hati dalam memilih produk.
Ironinya, semakin tinggi kesedaran pengguna tentang isu ini, semakin banyak produk yang dikenal pasti mempunyai unsur haram dalam pasaran. Apatah lagi selepas banyak syarikat perusahaan makanan dari Eropah, Amerika Syarikat dan China membuka cawangan di negara ini.
Hal ini cukup membimbangkan lebih-lebih lagi pelabelan produk yang mengandungi unsur babi dengan Kod E tidak jelas sehingga mengelirukan pengguna terutamanya yang beragama Islam terhadap keaslian, kehalalan dan kualiti barangan terbabit.
“Isu penggunaan gelatin babi dalam kebanyakan produk bukan sahaja memberi kesan kepada orang Islam, malah turut mendapat perhatian daripada penganut agama lain, sama ada mereka yang mengamalkan pemakanan berasaskan sayur-sayuran atau vegetarian mahupun pengeluar produk itu sendiri,” ujar pakar ekonomi Islam, Dr. Barjoyai Bardai.
Mengenali gelatin, ia merupakan ramuan penting yang banyak digunakan dalam pembuatan makanan seperti kek, biskut, sos, dan ayam goreng.
Selain penting dalam pengeluaran makanan, ia turut menjadi bahan utama dalam pembuatan sarung kapsul.
“Gelatin ialah protein yang dihasilkan daripada kulit, sendi dan tulang haiwan seperti babi, lembu dan kerbau.
Tulang babi
“Gelatin berfungsi sebagai penggebu pastri serta penstabil, pemekat, pengawet dan pengilat makanan,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Konnyaku Industries (M) Sdn. Bhd.
Sementara itu, menurut Timbalan Dekan Fakulti Sains Makanan dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jamilah Bakar, keunikan fungsi gelatin menyebabkan ia tidak dapat ditandingi oleh bahan lain di dunia.
“Gelatin adalah salah satu anugerah Tuhan kepada manusia. Dengan gelatin, pelbagai perkara dapat diselesaikan. Ia menjadi pelengkap dalam pelbagai industri, contohnya industri makanan.
“Di Eropah, ia telah digunakan secara meluas sejak beratus tahun dahulu sebagai penebal, pelekat, pengemulsi, agen pembuih, penahan lembapan, pembaik tekstur dan ejen pengikat yang menjadikan sesuatu makanan kelihatan lebih baik.
“Kerana fungsinya itu, sesetengah produk mungkin tidak dapat dihasilkan tanpa menggunakan gelatin,” kata Jamilah.
Mungkin ramai yang tidak menyedari banyak makanan mengandungi gelatin.
Daripada gula-gula getah, pencuci mulut segera, toffe, jeli, jus buah, aiskrim, produk kosmetik, farmaseutikal hinggalah makanan tambahan seperti minyak ikan dan minyak bawang putih dalam bentuk kapsul lembut.
Pada November 2009, satu penyelidikan usaha sama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Gam Lay Harn mendapati, 30 peratus daripada 100 sarung kapsul ubat yang diuji mengandungi gelatin daripada babi ataupun campuran gelatin lembu dan babi.
Gelatin daripada babi lebih meluas digunakan kerana ia lebih murah berbanding gelatin lembu.
Sungguhpun begitu, keadaan ini tidak menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang bertindak menukar sumber gelatin daripada babi kepada lembu.
“Bagaimanapun, pengeluaran gelatin berasaskan haiwan halal di negara ini amat terhad malah jika ia diproses di luar negara pun, jumlahnya tidak mencukupi.
“Pengeluarannya untuk jangka masa panjang pula tidak ekonomik,” jelas Barjoyai yang pernah menguruskan sebuah kilang memproses gelatin halal di Mekah, namun tidak bertahan lama.
Menurut Barjoyai, beliau dan rakan-rakannya pernah mengumpulkan lebih dua juta kulit haiwan sembelihan korban semasa musim haji pada tahun 1996 namun selepas diproses, bekalan gelatin yang terhasil hanya mampu bertahan untuk dua bulan sahaja.
“Setiap 10 kilogram (kg) kulit hanya boleh menghasilkan sekilo gelatin. Ditambah pula dengan stok bekalan kulit yang terhad, kami terpaksa menghentikan operasi kilang di sana,” katanya.
Biarpun percubaan pertama kurang menjadi, penyelidikan demi penyelidikan terus dilakukan sehinggalah mereka terjumpa dengan ubi konnyaku yang berasal dari Jepun.
ROTI nan yang dihasilkan bersama glukomanan boleh dilembutkan menggunakan semburan air.


Gantian gelatin
“Hasil kerjasama dengan Pusat Teknologi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MDTC) di Universiti Kebangsaan Malaysia, kami mendapati, ubi konnyaku boleh menghasilkan glukomanan yang fungsinya sama dengan gelatin yang dihasilkan daripada haiwan.
“Kualitinya sama bagus, cuma sifatnya yang berbeza,” ujar Ketua Pegawai Operasi Konnyuka Industries Sdn. Bhd., Mohd. Nazri Baharudin.
Selain di Jepun, ubi yang rupanya seakan-akan sengkuang ini banyak ditanam di bawah pokok jati di Surabaya, Indonesia.
“Tanam ubi konnyaku macam tanam emas sebab hasilnya hanya boleh dituai selepas dua tahun ditanam.
“Begitupun, penanam masih beruntung sebab daun pokok ubi ini akan mengeluarkan biji dan menjadi benih apabila jatuh ke tanah.
“Kami juga pernah jumpa ubi daripada keluarga konnyaku di Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan. Penduduk tempatan mengenalinya sebagai ubi sarik.
“Walaupun datang daripada spesies sama, peratus glukomanannya lebih rendah,” kata Nazri.
Jelas beliau, selain dijamin halal, kajian turut mendapati ia bagus diambil oleh mereka yang sedang berdiet ataupun golongan berpuasa kerana cukup mengenyangkan.
 

Tiada ulasan: