Sabtu, 8 Januari 2011

Nasi Beriani Kaca


Kita mungkin pernah menjumpai rambut, ubat stapler, batu dan lain-lain dalam makanan bila makan di restoren, tapi kalau termakan kaca memang haru. ini yang telah terjadi kepada pelanggan sebuah restoren yang  sedang menjamu selera dengan nasi beriani terbantut kerana menjumpai dan tertelan serpihan kaca. Perkara ini mungkin tidak berlaku jika pihak restoren mengamalkan Amalan Kebersihan Yang Baik semasa menyediakan makanan. Dalam pensijilan Halal JAKIM penyediaan makanan dalam keadaan yang bersih amat dititik beratkan. Ia mestilah menepati konsep "Halalan Toyibba" iaitu makanan yang halal lagi baik. Bukan sahaja halal malah makanan tersebut juga bersih, selamat, berkualiti dan berkhasiat.




Tips 1 Halal:

Soalan: Ada berapa badan islam bertauliah di Malaysia yang boleh mengeluarkan sijil halal di Malaysia?
Jawapan :Hanya JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sahaja.

Ahad, 2 Januari 2011

"Bahaya Pewarna Tiruan Dalam Teh"

JELI, 2 Jan. - Teh timbang atau teh sukat yang amat digemari oleh penduduk di negeri ini sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK), Ahmad Nadzri Sulaiman berkata, teh berkenaan yang sering digunakan peniaga kedai kopi sebenarnya mengandungi bahan pewarna sintetik (bukan semula jadi) yang berbahaya kepada kesihatan.
"Teh berkenaan tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di rata-rata kedai runcit di negeri ini. Ia berbahaya kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa yang lama,” katanya.
Katanya, penjualan teh perlu mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tidak membenarkan serbuk teh ditambah bahan pewarna.
Sesiapa yang didapati menjual, mengimport, mengguna dan menyimpan teh timbang ini, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, katanya.
Beliau berkata berdasarkan rekod JKK dari Januari hingga Oktober 2010, sebanyak 1,858 kilogram serbuk teh timbang bernilai RM22,296 dirampas dalam operasi yang dijalankan JKK.
Peniaga restoran, Meriyam Sholah, 45, berkata beliau tidak mengetahui bahaya penggunaan teh itu dan telah menggunakannya sejak sepuluh tahun lalu.
“Makcik memang suka guna teh timbang ni, pekat molek untuk buat air teh terutama teh susu, kalau guna yang uncang tu nampak pucat dan tak sedap, pelanggan pun bising,” katanya. - Bernama (Sumber : Utusan Malaysia Online)

Tips 1 Halal:

Teh yang mengandungi pewarna tiruan adalah dilarang didalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pembekal teh suka mencampurkan pewarna didalam daun teh dan dibekalkan kepada peniaga-peniaga restoren, kerana ia memberikan warna yang lebih menarik. Jika kita ingin mengetahui teh yang kita beli mengandungi pewarna tiruan atau tidak, ambil sedikit serbuk teh dan rendamkan ia pada segelas air sejuk. Jika ia berubah warna kekuningan dengan segera maka ia mengandungi pewarna tiruan, sebab untuk menyediakan teh kita perlu menggunakan airyang  panas. Bagaimana pula jika di kedai makan, kita boleh lihat pada warna teh ia kuning kemerahan tidak seperti teh biasa.