Ahad, 24 Februari 2013

Kopi halau makhluk halus


SHAMSURI memperkenalkan kaedah baharu dalam melawan masalah gangguan makhluk halus menerusi minuman.


PERCAYA atau tidak, amalan sihir masih lagi menjadi ancaman sebahagian daripada masyarakat Melayu moden pada hari ini. Sihir mempunyai pelbagai matlamat adalah untuk menundukkan musuh dengan cara mudah.
Maka tidak hairanlah pusat perubatan berasaskan Islam semakin banyak ditubuhkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang terkena sihir.
Sebagai usaha inovatif mengekang gangguan makhluk halus malah pengasas Pusat Perubatan Islam At-Tobibi, Shamsuri Shafei memperkenalkan kaedah merawat gangguan tersebut menerusi kaedah pemakanan moden.
"Oleh kerana meminum kopi menjadi sebahagian daripada rutin kita, saya memperkenalkan kaedah mudah kepada mereka yang menderita akibat gangguan makhluk halus menerusi kopi penawar ruqyah.
"Sebenarnya kopi itu sesuai untuk sesiapa sahaja kerana syaitan dan jin yang berdampingan dengan manusia bukan sahaja hadir kerana 'dihantar' tetapi ada yang berdampingan secara semula jadi terutamanya mereka yang jauh kepada Allah," kata Shamsuri.
Kopi pracampur itu turut mengandungi campuran pemakanan sunah seperti habatussauda, buah zaitun, kismis dan koma-koma yang dibacakan dengan ayat-ayat ruqyah oleh Shamsuri sendiri. Ayat tersebut merupakan bacaan yang dipercayai berperanan dalam menghalau makhluk halus.
"Seperti yang kita sedia maklum makanan sunah merupakan antara makanan yang mudah dihadam dan baik untuk kesihatan. Justeru kopi ini mengandungi nilai-nilai mengikut cara Islam," katanya yang turut memperkenalkan kopi delima ruqyah yang mengandungi bahan ekstrak kurma, madu, delima dan buah tin.
Maklumat lanjut mengenai kopi tersebut hubungi 013-960 9268 atau 019-460 1205.

Kopi termahal di dunia


MUSANG luwak yang menghasilkan kopi paling mahal di dunia menerusi proses pencernaan selepas ceri kopi dimakannya.


KOPI luwak yang hanya boleh didapati di Indonesia dianggap sebagai kopi paling pelik di dunia. Ia hanya boleh dihasilkan menerusi najis sejenis musang yang dikenali sebagai luwak oleh masyarakat tempatan. Secara semula jadi, musang tersebut akan terlebih dulu memakan biji kopi pada waktu malam sebelum penduduk kampung mengutip najis haiwan itu untuk diproses menjadi serbuk kopi.
Antara lokasi hangat penghasilan kopi yang mempunyai nilai komersial AS$700 (RM2,170) sekilogram itu ialah di sekitar Bali, Sumatera, Jawa dan Sulawesi.
Kopi itu pernah mencetuskan kontroversi apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa ia haram dimakan oleh orang Islam kerana dihasilkan menerusi proses pencernaan haiwan.

MONYET Formosan Rock akan meluah kembali biji kopi yang dimakan sebelum diproses menjadi minuman.


Namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 yang bersidang selama tiga hari mulai 13 Februari 2012 lalu memutuskan bahawa kopi tersebut harus dimakan.
Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), biji kopi luwak adalah bersifat najis.
“Ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam.
“Biji kopi tersebut juga hendaklah disucikan terlebih dulu daripada najis,” demikian kenyataan fatwa itu.
Muzakarah juga memutuskan bahawa kopi luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.
Bagaimanapun musang bukanlah satu-satunya haiwan yang boleh menghasilkan kopi bermutu tinggi.
Di Thailand, masyarakat setempat menggunakan gajah bagi mempercepatkan penghasilan biji kopi berbanding musang yang hanya mampu memakan buah kopi dalam kuantiti terhad.

GAJAH akan diberi makan kira-kira 33kg buah kopi bagi menghasilkan sekilogram biji kopi.


Menurut mereka yang pernah menghirup kopi itu, rasa kopi gajah jauh lebih enak berbanding kopi robusta atau arabika yang bermutu tinggi.
Tetapi untuk merasa kopi itu tidaklah begitu mudah kerana ia hanya boleh didapat di tempat tertentu sahaja iaitu di beberapa hotel mewah di Thailand, Maldives dan Abu Dhabi. Harganya pula mencecah sehingga AS$68 (RM211) secawan.
Harga bagi setiap kilogram biji kopi yang siap diproses didagangkan sebanyak AS$1,100 (RM3,409).
“Apabila gajah memakan biji kopi itu, asid perutnya akan memecahkan protein yang terkandung di dalam biji kopi. Sebab itulah rasanya begitu sedap. Kopi itu juga lebih lembut berbanding kopi biasa,” kata pengasas kopi yang terhasil daripada gajah yang merupakan warga Kanada, Blake Dinkin, 43.
Perut gajah yang besar menjadi bonus dalam menghasilkan kopi yang berkualiti apabila ia mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 jam untuk memproses biji kopi bersama-sama dengan pisang, tebu dan makanan lain. Justeru rasa kopi itu turut ditambah dengan aroma buah-buahan.
Antara lokasi penghasilan kopi tersebut di Thailand termasuklah di kawasan Segitiga Emas Anantar dan Phrao iaitu di utara Thailand.
Jumlah yang dihasilkannya juga terhad apabila hanya 20 ekor gajah yang diberi makan biji kopi untuk memprosesnya. Daripada jumlah 10,000 biji kopi, ia hanya mampu menghasilkan satu kilogram kopi.

DANKIN menunjukkan kopi yang dihasilkan oleh gajah siap dibersihkan sebelum dibakar.


“Daripada 33 kilogram (kg) kopi yang diberi makan kepada gajah, hanya sekilogram kopi Black Ivory yang dihasilkan. Ini adalah kerana sebahagian daripada kopi telah musnah kerana dikunyah. Hanya biji kopi yang tidak pecah sahaja yang akan diproses,” kata Dinkin.
Di Taiwan, monyet Formosan Rock turut memainkan peranannya dalam menghasilkan kopi termahal. Ia berbeza berbanding kopi luwak dan kopi gajah kerana biji kopi akan diludah oleh monyet selepas dimamah.
“Monyet itu selalunya memilih biji kopi yang nampak ranum dan berwarna merah menyala untuk di makan. Tetapi ia akan meludahnya kembali kerana tidak boleh dicerna,” kata seorang pengusaha kopi di Taiwan, Lio Ching Tung.
Jelas Ching Tung yang berpengalaman selama 30 tahun dalam perusahaan itu, kopi muntah monyet itu mempunyai rasa manis dan sedikit rasa vanila.
Kopi yang mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan iaitu dengan melalui proses pengeringan di bawah matahari dan dibakar itu dijual pada harga AS$60 (RM186) bagi setiap setengah kilogram.

Sabtu, 9 Februari 2013

Perlancongan Halal

Biasanya bila dikatakan perkataan halal ia merujuk kepada makanan yang disediakan adakah menepati hukum syarak, kini pelbagai pihak telah melihat ia sebagai peluang perniagaan baharu misalnya aktiviti perlancongan Halal. Malaysia setelah sekian lama menjadi destinasi perlancongan Halal bagi negara-negara teluk seperti Mesir, Arab Saudi dan lain-lain. Malah ada agensi perlancongan yang terkenal beribu pejabat di Singapura telah mengiktiraf Malaysia merupakan destinasi utama pelancong dari negara teluk pada bulan Ramadhan. Malah Thailand ingin peluang ini dengan memperkenalkan "Spa Halal"....

Tarikan negara bukan Islam



Peningkatan ketara pelancong Muslim terutamanya dari Asia Barat dengan kuasa beli yang tinggi membuatkan banyak negara tidak mahu ketinggalan menarik kedatangan mereka.
DARIPADA pusat rawatan spa halal hingga bilik sembahyang di terminal lapangan terbang, industri pelancongan Islamik global semakin meningkat dan dijangka terus rancak dalam dekad akan datang.
Menurut pakar, bilangan golongan kaya beragama Islam terutamanya di Asia Barat meningkat dengan ketara dan mereka pula gemar melancong ke luar negara.
Bukan itu sahaja, jumlah perbelanjaan golongan tersebut ketika melancong juga menunjukkan peningkatan ketara dan dijangka mencecah AS$192 bilion (RM584 bilion) pada tahun 2020. Pada tahun 2011, perbelanjaan mereka kira-kira RM383 bilion.
Statistik tersebut didedahkan kepada AFP oleh syarikat pelancongan halal yang beribu pejabat di Singapura iaitu Crescentrating dan agensi penyelidikan pasaran Muslim global, DinarStandard.
Agensi di Amerika Syarikat itu membuat kajian pasaran berkaitan gaya hidup Muslim di 47 buah negara di seluruh dunia.
Kedua-dua syarikat tersebut pakar dalam kajian berhubungan industri pelancongan dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Crescentrating, Fazal Bahardeen berkata, negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam seperti Mesir, Malaysia dan Indonesia telah lama menjadi pasaran kegemaran pelancong Muslim, namun kini negara bukan Islam semakin digemari.
Berdasarkan kajian itu, Malaysia berada di tempat pertama destinasi tumpuan pelancong Muslim, malah sepanjang Ramadan pelancong turut berkunjung ke negara berkenaan.
AKSI salah seorang peniaga medan selera yang menjual sate di sebuah lokasi popular di pinggir Sungai Singapura.


Bulan madu
Mohammed Ali Alali, 23, pelajar kejuruteraan petroleum dari Dammam, Arab Saudi melancong dan berbulan madu di Malaysia bersama pasangannya, pelajar perubatan berusia 20 tahun.
"Negara ini tidak begitu jauh dari Arab Saudi dan kos perbelanjaan lebih murah berbanding melancong ke Eropah. Malaysia juga negara Islam dan ia banyak memudahkan kami dalam pelbagai perkara seperti lokasi masjid dan makanan Arab," katanya selepas berbuka puasa di sebuah restoran Arab di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berdasarkan kajian itu, mudah mendapat masakan halal merupakan keperluan utama para pelancong berkenaan.
Fazal berkata, destinasi pelancongan seperti Thailand dan Australia terutamanya Gold Coast, kini turut mengambil pendekatan serupa iaitu menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kepada para pelancong Muslim.
Antaranya, termasuk menyediakan surau di terminal lapangan terbang dan hotel-hotel, restoran dan spa halal yang memenuhi tuntutan agama Islam.
'Mengapa tidak mencuba Gold Coast untuk Ramadan tahun ini?' Slogan ajakan tersebut dipetik daripada sebuah laman web pelancongan di Queensland, Australia.
Banyak pakar ekonomi global mendedahkan, usaha memenuhi keperluan dan kehendak kira-kira 1.8 bilion orang Islam di seluruh dunia merupakan satu peluang perniagaan yang menguntungkan.
"Daripada makanan dan perbankan Islamik, industri tersebut terus mengembangkan sayap dalam bidang farmaseutikal, fesyen, pelancongan dan pelbagai sektor lain," kata pakar tersebut.
Separuh daripada populasi masyarakat Islam dunia merupakan golongan berusia 24 tahun ke bawah dan kebanyakannya berpendidikan tinggi.
KEMUDAHAN mendapatkan makanan halal membuatkan ramai pelancong Asia Barat menyukai Malaysia. – Gambar hiasan


Spa halal
Thailand juga giat menjalankan usaha bagi tujuan menarik kedatangan pelancong Islam ke Negara Gajah Putih itu.
Pihak berkuasa pelancongan negara berkenaan yang mempunyai pejabat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah mempromosikan spa halal untuk pelancong Islam dengan menitikberatkan privasi para pelanggan lelaki dan wanita.
Selain itu, mereka turut mengadakan festival makanan Thai di Dubai yang berlangsung dalam tempoh panjang iaitu dari 8 Jun hingga 7 Julai.
Menurut kajian Crescentrating, Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok dipilih paling baik dari segi lapangan terbang mesra pelanggan Islam di negara bukan Islam.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa pelancong dari Negara-Negara Teluk seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE merupakan golongan yang paling banyak berbelanja.
Negara-Negara Teluk mewakili 37 peratus daripada perbelanjaan pelancong Islam pada tahun 2011 di Thailand meskipun bilangan mereka cuma tiga peratus daripada populasi Islam global. - AFP

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm

Ahad, 3 Februari 2013

DNA babi dalam daging halal

London: Kementerian Kehakiman Britain semalam menggantung sebuah syarikat pembekal daging ke penjara selepas ujian mendapati daging yang dicop halal yang dibekalkannya mengandungi babi.
Dalam satu kenyataan, kementerian berkenaan berkata, pai daging yang dilebelkan halal ditarik balik serta-merta selepas DNA babi ditemui di dalamnya.

Menurutnya, semua penjara yang terbabit sudah dimaklumkan.
Agensi Standard Makanan berkata, pihak berkuasa sudah mula menyiasat bagaimana ia boleh berlaku dan setakat mana produk itu diedarkan ke seluruh negara itu.

Ujian terhadap makanan yang dikatakan halal itu dilakukan selepas beberapa pasar raya Britain didapati menjual daging burger lembu yang mengandungi daging kuda. - AP


Buahan Import Haram??????

Buah-buahan import haram - Marzuki

JAKARTA 3 Feb. - Speaker Dewan Perwakilan, Marzuki Alie menggesa Majlis Ulama Indonesia (MUI) untuk mengisytiharkan buah-buahan import sebagai haram.
"Saya berharap MUI akan bertindak secepat mungkin. Buah-buahan import adalah haram," katanya seperti yang dipetik laman web berita tribunnews.com, kelmarin
Marzuki menyatakan bahawa kemasukan buah-buahan import ke Indonesia menjejaskan pendapatan pengusaha buah-buahan tempatan. - AGENSI